GAZA – Hamas mengumumkan pada Isnin bahawa ia telah memuktamadkan rancangan untuk menyerahkan aset pentadbiran dan kerajaan kepada Jawatankuasa Kebangsaan Gaza.
Agensi berita Xinhua melaporkan, jawatankuasa tersebut akan mengambil alih kawalan Semenanjung Gaza sebaik memasuki wilayah itu melalui pintu sempadan Rafah.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata penyerahan itu akan bermula serta-merta sebaik jawatankuasa berkenaan tiba di Gaza.
Urusan penyerahan pentadbiran dan kerajaan itu katanya, akan dilaksanakan secara telus, menyeluruh serta merangkumi semua sektor.
Beliau berkata sebuah badan peringkat tinggi terdiri daripada wakil-wakil puak Palestin, pemimpin kabilah, tokoh masyarakat sivil serta organisasi antarabangsa telah ditubuhkan untuk menyelia proses tersebut.
Qassem juga menggesa semua pihak agar memudahkan urusan jawatankuasa itu, sambil menegaskan bahawa peranannya amat penting bagi pemulihan Gaza selepas apa yang disifatkannya sebagai “bencana” akibat dua tahun peperangan Israel.
Bagaimanapun, seorang anggota Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Semenanjung Gaza berkata masalah teknikal setakat ini telah menghalang ahli-ahli jawatankuasa daripada memasuki wilayah itu melalui pintu sempadan Rafah.
Aed Yaghi, ketika bercakap pada sidang media, berkata jawatankuasa itu berharap dapat tiba dalam tempoh beberapa hari akan datang, namun tidak memperincikan halangan yang dihadapi.
Seorang lagi anggota jawatankuasa, yang enggan dikenali, berkata badan itu masih belum mempunyai ibu pejabat atau peruntukan belanjawan operasi.
Beliau berkata sebuah bangunan atau sebidang tanah di Bandar Gaza boleh disewa untuk memulakan operasi, dan setakat ini belum menerima sebarang pembiayaan.
Jawatankuasa itu merancang untuk mengadakan pertemuan dengan puak-puak Palestin dan pegawai kerajaan sebaik ketibaan mereka bagi mengatur penyerahan kementerian serta pejabat kerajaan supaya dapat menyambung semula operasi, tambahnya.
— BERNAMA-XINHUA
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















