Orang ramai berlari mencari perlindungan selepas serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di kem Bureij untuk pelarian Palestin di tengah Semenanjung Gaza pada 19 Oktober 2025. Foto AFP

GAZA —Sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan di seluruh Gaza, pada Rabu.

Sumber perubatan di wilayah itu menyifatkan tragedi berkenaan adalah hari paling berdarah sejak gencatan senjata oleh Israel bermula Oktober lalu.

Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza berkata pihaknya menerima 13 mayat, termasuk lima kanak-kanak, yang terkorban apabila khemah dan rumah di kejiranan Zeitoun dan Tuffah di bahagian timur diserang.

Laporan Al Jazeera pula menyatakan 14 orang terbunuh akibat bedilan Israel di utara Gaza.

Hospital Nasser di Khan Younis berkata empat orang, termasuk seorang kanak-kanak, dibawa ke hospital itu selepas bedilan Israel mengenai khemah penduduk yang dipindahkan di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis.

Dua lagi terbunuh akibat serangan udara Israel ke atas kem khemah al-Mawasi. Bulan Sabit Merah Palestin berkata salah seorang yang terkorban ialah paramediknya.

Pegawai hospital berkata enam kanak-kanak antara mereka yang terbunuh di kawasan Bandar Gaza dan Khan Younis.

Tentera Israel berkata unit berperisai dan pesawatnya telah melancarkan serangan di utara Gaza selepas seorang pegawai simpanan cedera parah akibat ditembak berhampiran garisan kuning “semasa aktiviti operasi rutin.”

Katanya, pegawai berkenaan telah dipindahkan ke hospital.

Tambahnya, unit berperisai dan pesawat telah melaksanakan serangan tepat di kawasan itu sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap gencatan senjata.

Kedua-dua Israel dan Hamas saling menuduh hampir setiap hari melanggar gencatan senjata sejak ia berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata sekurang-kurangnya 529 orang telah terbunuh akibat tembakan Israel, manakala tentera Israel berkata empat anggotanya terbunuh. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast