KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menzahirkan nasihat kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman bahawa kekuatan angkatan pertahanan bukan hanya terletak pada asset dan teknologi tetapi pada nilai integriti.
Sultan Ibrahim bertitah, budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan ATM.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.
“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara hari ini.
Di samping itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengingatkan supaya kepemimpinan tertinggi ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota selain mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa.
Malek Razak secara rasmi dilantik sebagai PAT ke-24 semalam.
Beliau yang kini berusia 59 tahun turut dinaikkan ke pangkat Jeneral berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu.
Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat. – MalaysiaGazette
















