PIDM
Ahli Lembaga Pengarah PIDM, Toi See Jong

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengumumkan pelantikan Toi See Jong sebagai ahli Lembaga Pengarah PIDM, berkuat kuasa 3 Februari 2026.

See Jong memiliki lebih 30 tahun pengalaman serantau dalam bidang insurans dan aktuari, serta pernah menyandang beberapa jawatan kepimpinan kanan di Malaysia, Singapura, China dan Hong Kong.

“Pengalaman luas serta latar belakang kepimpinan beliau akan mengukuhkan lagi kepakaran kolektif barisan Lembaga Pengarah.

“Kami yakin beliau akan memberi sumbangan besar kepada usaha berterusan kami untuk mempertingkatkan tadbir urus, keberkesanan operasi dan keupayaan bagi melaksanakan mandat PIDM,” kata Pengerusi PIDM, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

See Jong sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd., selain pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia.

Beliau juga merupakan bekas ahli Lembaga Pengarah Malaysian Rating Corporation Berhad.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian Sains Aktuari Statistik (Kepujian) dari Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland dan merupakan Felo Fakulti Aktuari, Scotland.

Dalam pada itu, Abu Huraira turut merakamkan penghargaan Lembaga Pengarah kepada Gloria Goh Ewe Gim yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 2 Februari lalu.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Gloria Goh atas dedikasi serta sumbangan beliau yang amat berharga sepanjang sembilan tahun berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah PIDM, khususnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit bagi sebahagian besar tempoh perkhidmatan beliau.

Kami mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti beliau dan mendoakan kejayaan dalam segala usaha beliau pada masa hadapan,” katanya.

Dengan pelantikan ini, ahli Lembaga Pengarah PIDM terkini adalah:

 

  • Datuk Abu Huraira Abu Yazid (Pengerusi)
  • Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (Gabenor Bank Negara Malaysia) – ex officio
  • Datuk Johan Mahmood Merican (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) – ex officio
  • Datuk Dr Yacob Mustafa
  • Encik Razali Othman
  • Dato Dr Nik Ramlah Mahmood
  • Dato’ Dr Gan Wee Beng
  • Lee Kong Eng
  • Toi See Jong

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast