GEORGE TOWN – Seorang pemandu lori simen warga Indonesia maut selepas kenderaan dipandunya terjatuh dari tebing setinggi lima meter di kawasan tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, lelaki tersebut dikatakan sedang memandu dalam keadaan mengundur sebelum kenderaan tersebut terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.29 pagi sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.
“Hasil semakan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori simen yang telah terjatuh akibat hilang keseimbangan semasa menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak tersebut.

“Terdapat seorang mangsa telah tersepit di bahagian pemandu dan kerja-kerja menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas dengan dibantu sebuah kren yang turut berada di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 12.55 tengah hari namun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.16 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazetteH
















