Ab Rauf melakukan gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Villa D'Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kerajaan Negeri Melaka mahu memastikan kemajuan tidak hanya diukur berdasarkan keupayaan menarik pelaburan dan pelancong sebaliknya turut mesra warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan yang dibawa kerajaan negeri mesti memberi makna kepada kehidupan rakyat dengan memastikan tiada kelompok masyarakat dipinggirkan daripada arus kemajuan.

“Kita tidak mahu hanya membina Melaka yang mesra pelabur dan mesra pelancong. Kita juga mahu Melaka yang mesra warga emas, mesra OKU dan mesra kanak-kanak.

“Inilah pelengkap sebuah negeri yang maju apabila kemajuan turut membawa kesejahteraan dan kehidupan yang bermaruah untuk semua,” katanya.

Ab Rauf menyantuni kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Villa D’Acqua, Kampung Pulau hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Villa D’Acqua, Kampung Pulau di sini hari ini.

Katanya, pendekatan itu juga selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di setiap peringkat.

“Inklusiviti yang kita perjuangkan cukup jelas; usia tidak meminggirkan, keterbatasan tidak menutup peluang dan setiap anak berhak membesar dalam perlindungan sejajar dengan gagasan MeSRa,” katanya.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, sehingga Julai 2026, lebih RM4.45 juta telah disalurkan menerusi Bantuan MeSRa Am kebajikan kepada 2,430 penerima di seluruh Melaka.

Komitmen ini turut diperkasa menerusi Bantuan Mesra Lampin pakai buang dan Bantuan Mesra Susu orang terlantar dengan peruntukan lebih RM3.08 juta, dan memberi manfaat kepada 3,345 penerima dari ketiga-tiga daerah.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai sokongan Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan lebih RM98.78 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, membabitkan 28,666 penerima di Melaka.

“Bagi warga emas, lebih RM51.25 juta disalurkan melibatkan 12,568 penerima.

“Bagi komuniti OKU pula, perhatian turut diberikan kepada aspek pendidikan dan perkembangan potensi dengan meningkatkan subsidi yuran pembelajaran daripada RM500 kepada RM1,000, sekali gus memberi manfaat kepada 423 anak autisme di Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kebajikan kanak-kanak turut diberi perhatian melalui Program Advokasi Kasih Kanak-Kanak, subsidi Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) berjumlah RM92,880 untuk keluarga berpendapatan rendah serta Talian Kasih 15999 sebagai saluran bantuan dan perlindungan.

“Aspirasi saya jelas. Saya mahu Melaka ini bukan sahaja maju ekonominya, tetapi tinggi nilai kemanusiaannya; bukan sahaja terus melangkah menggamit dunia, tetapi tetap memeluk erat rakyatnya,” katanya.

Lebih 1,000 orang hadir pada sambutan berkenaan yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti Merentas Desa, Senam Emas, Pakaian Beragam dan Pameran Interaktif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here