KUALA NERUS – Kegagalan barisan pertahanan menyerap tekanan pihak lawan serta kesilapan mudah menjadi punca Terengganu FC (TFC) gagal mara ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.
Pada perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi, TFC tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas secara agregat 4-5 di tangan DPMM FC.
Ketua jurulatih Skuad Penyu Mohd Nafuzi Zain mengakui kecewa kerana gagal meneruskan kemaraan, namun tidak menyalahkan pemain yang telah beraksi dengan baik sepanjang 90 minit permainan.
“Saya rasa secara keseluruhan kita bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi kesilapan sendiri menyebabkan DPMM menjadikan peluang itu untuk menjaringkan gol.
“Saya agak kecewa kerana kita tidak layak ke suku akhir namun pemain sudah berjuang untuk memberikan yang terbaik malam ini. Saya rasa malam ini kita bermain dengan baik, cuma dari segi pertahanan kita gagal menyerap tekanan sehingga bolos dua gol dalam tempoh sepuluh minit,” katanya selepas perlawanan malam tadi.
Sementara itu, pengendali DPMM FC Jamie McAllister berkata pasukannya layak memperoleh kemenangan setelah mempamer aksi mantap serta bertenaga sepanjang perlawanan.
Malah, beliau menyifatkan pencapaian itu lebih bermakna kerana pemain mampu bangkit mencipta kemenangan di tempat lawan setelah tewas tipis pada aksi pertama di gelanggang sendiri pada 9 Sept lepas.
“Saya fikir kami memang layak menang. Satu perlawanan yang sukar buat pemain kami dan Terengganu sendiri mempunyai banyak pemain berkualiti. Namun, kami datang dengan keyakinan bahawa jika kami terus berusaha, kami mampu mara ke peringkat seterusnya.
“Saya sangat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan pamain dan ia satu pencapaian luar biasa kerana bukan mudah untuk menang di sini,” katanya.
McAllister berkata walaupun skuad musim ini dibarisi ramai muka baharu, pemain telah menunjukkan peningkatan yang cepat dan baik dari semasa ke semasa.- BERNAMA
















