KUALA LUMPUR – Empat buah kilang musnah terbakar kira-kira 90 peratus di Taman Perindustrian Puchong dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 6.34 pagi.
Susulan itu, seramai 33 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bersama jentera dikejarkan yang jaraknya sejauh lapan kilometer.
Operasi turut dibantu BBP Subang Jaya, Penchala, Petaling Jaya, Seri Kembangan dan Cyberjaya yang tiba pukul 6.45 pagi.
Tambah beliau, anggota bomba mendapati, kebakaran melibatkan empat kilang iaitu kilang tayar, perkakasan paip dan injap, perabot serta kejuruteraan.
Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pukul 8.30 pagi namun kerja-kerja pemadaman di bahagian bumbung dan dalam kilang masih giat dijalankan.
Ashrul Riezal berkata, risiko runtuhan bumbung dan struktur bangunan di tempat kejadian masih ada manakala kemerebakan api berjaya dikawal. – MalaysiaGazette
















