PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Persekutuan paling kanan Tan Sri Nallini Pathmanathan menerima penghargaan daripada pengamal undang-undang selepas menyampaikan penghakiman terakhirnya yang menyentuh tafsiran undang-undang berkaitan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau yang akan bersara bulan ini apabila mencapai usia persaraan wajib 66 tahun, disifatkan sebagai penyumbang terhadap perkembangan undang-undang awam dan administratif.
Sejurus Hakim Nallini selesai membacakan keputusannya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berdiri dan menarik perhatian mahkamah untuk menyampaikan penghargaan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).
Shamsul menggambarkan hakim kanan itu sebagai antara tokoh paling menonjol mentafsir perlembagaan yang membawa kepada pemahaman mendalam terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Sepanjang lapan tahun lalu, saya dan rakan sekerja di AGC diberi peluang berhujah di hadapan Yang Arif dan kami menyaksikan seorang hakim wanita yang mempunyai kebijaksanaan luar biasa yang meneliti setiap perincian undang-undang.
“Bagi pihak Jabatan Peguam Negara, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Arif atas sumbangan ketika memikul jawatan kehakiman untuk tempoh yang lama. Moga Yang Arif terus sihat dan berbahagia untuk hari-hari mendatang,” ujar Shamsul.
Terdahulu, Hakim Nallini yang menganggotai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233(1)(a) akta itu, kekal berperlembagaan dan sah dikuatkuasakan di sisi undang-undang.
Kedua-dua perkataan tersebut dalam seksyen berkenaan, dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu selepas membenarkan rayuan aktivis, Heidy Quah, 31.
Panel itu yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusan yang menjadi nas undang-undang, secara sebulat suara berpuas hati perkataan-perkataan itu sah diguna pakai untuk pendakwaan jenayah.
Sementara itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Heidy kagum menyaksikan pencapaian membanggakan Hakim Nallini yang bermula di Mahkamah Tinggi hingga ke peringkat mahkamah atasan.
Ujar beliau, tahun-tahun terakhir hakim wanita itu menyaksikan perkembangan memberangsangkan yang memberi kesan kepada legasi kehakiman selain membuka ruang kepada perkembangan undang-undang.
Dalam pada itu, peguam K. Shanmuga yang mewakili Badan Peguam Malaysia berkongsi pandangan sama sambil meluahkan rasa bangga kerana Hakim Nallini yang pernah bertugas sebagai peguam, kerap menyampaikan penghakiman yang menjadi nas undang-undang.
Selain itu, peguam Benjamin John Dawson yang mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menggambarkan hakim berkenaan sebagai figura menonjol yang kekal diingati mempunyai standard yang tinggi dalam badan kehakiman.
Hakim Nallini kemudian melahirkan ucapan terima kasih dan terharu dengan penghargaan yang disampaikan sambil menyifatkan beliau gembira berbakti untuk negara. – MalaysiaGazette















