GEORGE TOWN – Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang audit susulan dan pengauditan alam sekitar menerusi kunjungan hormat delegasi institusi audit negara Thailand ke Jabatan Audit Negara Negeri Pulau Pinang hari ini.
Jabatan Audit Negara dalam kenyataan memaklumkan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menerima kunjungan Pesuruhjaya Audit Negara Thailand, Yuthapong Apirattanarungsri dan Ketua Audit Negara Thailand, Monthien Charoenpol.
Delegasi Supreme Audit Institution (SAI) Thailand seramai lapan orang itu turut diiringi Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Pulau Pinang, Psusist Wongsurawat selain pegawai kanan Jabatan Audit Negara dan wakil Kementerian Luar Negeri.
“Kunjungan berkenaan merupakan lawatan rasmi pertama kepimpinan tertinggi audit Thailand kepada Ketua Audit Negara, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik dua hala antara Malaysia dan Thailand.
“Di peringkat antarabangsa, kedua-dua negara kini menerajui kumpulan kerja di bawah International Organization of Supreme Audit Institutions (INTOSAI) dengan Ketua Audit Negara mempengerusikan INTOSAI Working Group on Follow-up Audit (WGFA), manakala Ketua Audit Negara Thailand menerajui INTOSAI Working Group on Environmental Auditing (WGEA),” katanya.
Tambah kenyataan itu, antara hasil utama kunjungan rasmi itu ialah perkongsian kepakaran dan pengalaman SAI Malaysia dalam bidang audit susulan selaku Pengerusi INTOSAI WGFA dan Pengerusi ASEANSAI Knowledge Sharing Committee (KSC), selain perkongsian maklumat oleh SAI Thailand mengenai pengauditan alam sekitar yang dilaksanakan di negara berkenaan.
Jelasny, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membangunkan program kerjasama buat julung kalinya yang menekankan peranan strategik audit susulan hijau dalam memperkukuh akauntabiliti alam sekitar serta amalan baik bagi meningkatkan impak kelestarian.
Dalam kerjasama itu, SAI Malaysia akan menjadi peneraju bersama program Closing the Loop: A Global Follow-Up Audit Toolkit for Climate Change Adaptation Results di bawah WGEA, manakala SAI Thailand bersetuju membangunkan salah satu bab dalam Compendium of Good Practice of Follow-up Audit di bawah WGFA yang dipengerusikan SAI Malaysia.
“Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti, khususnya dalam konteks amalan terbaik serantau dan antarabangsa bagi memastikan setiap pengauditan dilaksanakan secara berkesan, berimpak tinggi serta memberikan manfaat langsung kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















