Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dibawa keluar dari Istana Kehakiman, Putrajaya bagi menjalani hukuman penjara enam tahun bermula hari ini kerana kesalahan rasuah RM3.09 juta bermula hari ini. 10 FEBRUARI 2026. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad keluar dari Istana Kehakiman pukul 3.25 petang dan dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor bagi menjalani hukuman penjara enam tahun bermula hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu meninggalkan pekarangan mahkamah menaiki kenderaan polis keluar dari kawasan lokap, diiringi beberapa anggota.

Mohd. Isa, 77, yang kelihatan sugul sempat melambai tangan daripada tingkap kenderaan kepada sekumpulan jurugambar yang menunggunya dari pagi untuk merakam detik-detik akhir sebelum beliau dibawa ke penjara.

Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid keluar dari Istana Kehakiman, Putrajaya sejurus Mahkamah Persekutuan memerintahkan suaminya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dipenjara enam tahun kerana kesalahan rasuah RM3.09 juta. 10 FEBRUARI 2026.

 

Terdahulu, isteri Mohd. Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid turut hadir bersama-sama ahli keluarga terdekat menemani suaminya bagi mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan pendakwa raya berhubung pembebasannya.

Isteri bekas pemimpin veteran UMNO itu kelihatan menangis sambil ditenangkan ahli keluarga terdekat ketika suaminya dibawa masuk ke lokap sejurus panel mahkamah selesai bersidang.

Sewaktu ditemui wakil media ketika berjalan keluar meninggalkan kamar mahkamah, Bibi Sharliza berkata, beliau tidak berhasrat memberikan sebarang komen terhadap keputusan tersebut.

Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid keluar dari Istana Kehakiman, Putrajaya sejurus Mahkamah Persekutuan memerintahkan suaminya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dipenjara enam tahun kerana kesalahan rasuah RM3.09 juta. 10 FEBRUARI 2026.

 

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mohd. Isa dipenjara enam tahun serta merta dan denda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan rasuah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan mengembalikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang membebaskannya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast