KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, keluarga diraja Arab Saudi berhasrat memberikan sumbangan dana menerusi akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bagi melancarkan perjalanan politik bekas Perdana Menteri pada 16 tahun lalu.
Mejar Jeneral (B), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Almarhum Raja Abdullah memaklumkan sendiri kepada bekas Perdana Menteri dalam satu pertemuan tidak rasmi di istana baginda di Riyadh pada 11 Januari 2010.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, pada pemahamannya, almarhum menyebut dana itu akan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib kerana khuatir jika sumbangan itu disalurkan terus ke dalam entiti atau organisasi politik, ia akan merumitkan perbelanjaannya.
“Semasa mereka berdua berjalan ke arah kawasan tengah dewan mesyuarat, saya melihat Datuk Seri Mohd Najib memberikan isyarat kepada saya supaya menyertai beliau, Almarhum Raja Abdullah dan jurubahasa baginda dalam perbincangan itu.
“Saya kemudiannya mengekori mereka dan menghampiri Perdana Menteri tetapi berdiri jauh sedikit di belakang beliau namun masih dalam jarak untuk mendengar perbualan dan terjemahan perbualan di antara mereka.
“Kandungan perbualan sulit ini merangkumi Raja Abdullah memberi sumbangan dana kepada Datuk Seri Najib,” ujarnya dalam pernyataan saksi.

Jamil Khir, 64, memberi keterangan dalam saman yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap Najib untuk mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.
Ujar beliau, hasrat kerajaan Arab Saudi untuk membantu Najib bertujuan mengekalkan kestabilan Malaysia sebagai negara yang sederhana selain mengukuhkan kedudukan beliau pada pilihan raya 2013.
Jelasnya, sumbangan itu juga bagi membantu menangkis pengaruh Syiah dan juga membasmi ekstremis agama yang ketika itu mula berleluasa di negara ini.
“Bagi Raja Abdullah, mustahak supaya isu-isu tersebut ditangani kerana masalah sama sedang berlaku di Timur Tengah yang akhirnya mencetuskan Arab Spring pada Disember 2010,” ujarnya.
Jamil Khir selanjutnya menyatakan, beliau mengikut delegasi negara di antara 13 Januari hingga 16 Januari 2010 dalam lawatan rasmi itu yang mana Malaysia secara konsisten turut menerima tambahan kuota jemaah haji.
Menyentuh mengenai dana Arab Saudi, beliau berkata, Najib kemudian membuat sumbangan melalui cek kepada Bahagian Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada 2012.
Ujarnya, selain sumbangan itu, layanan baik dan keakraban Najib dan Raja Abdullah dapat dilihat melalui tindakan almarhum memimpin tangan bekas Perdana Menteri sambil menuju ke bahagian tengah dewan mesyuarat.
“Saya beranggapan bahawa melalui cara berjalan, bercakap dan berhubung sesama mereka, ia kelihatan seperti cara seorang bapa berinteraksi dengan anaknya. Itu pemerhatian saya semasa pertemuan tersebut.
“Hubungan akrab itu turut terbukti apabila bekas Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijemput menunaikan haji atas jemputan rasmi kerajaan Arab Saudi,” ujarnya.
Menurut Jamil Khir, Najib turut diberi penghormatan berucap mewakili semua tetamu haji kerajaan itu dalam satu majlis pada 7 November 2011 di Istana Mina, Arab Saudi.
Ujarnya, Malaysia negara Islam pertama di dunia yang diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan bagi pihak semua pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada tahun tersebut yang menggambarkan hubungan istimewa kedua-duanya.
Bagaimanapun, kata Jamil Khir, selaku Menteri Agama, beliau ditugaskan mewakili Perdana Menteri menyampaikan ucapan tersebut dalam bahasa Arab.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 2 Mac ini. – MalaysiaGazette
















