GEORGE TOWN – Pulau Pinang dikenal pasti menjadi antara lokasi pilihan gelandangan tempatan dan warga asing untuk berkumpul setiap kali menjelang Ramadan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, fenomena itu dikesan berlaku hampir setiap tahun dengan beberapa kawasan di pusat bandar dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan golongan berkenaan.
Beliau berkata, antara kawasan yang sering menjadi hot spot adalah sekitar bawah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang dan Jalan Masjid Kapitan Keling.
“Lokasi-lokasi ini memang menjadi sasaran kumpulan gelandangan setiap kali Ramadan semakin hampir. Mereka bukan sahaja dari negeri ini malah ada yang datang dari negeri jiran seperti Kedah serta warga asing termasuk dari Indonesia.
“Ada yang datang bersama keluarga dan ada juga yang bersendirian. Kerajaan negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sememangnya sedia maklum mengenai keadaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Gunting Rambut Percumaanjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan MatSaleh Barber di Pusat Transit Harapan Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada program itu, kira-kira 100 gelandangan menerima perkhidmatan gunting rambut yang disediakan oleh 20 peserta kursus MatSaleh Academy.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, sikap masyarakat Pulau Pinang yang prihatin dan gemar membantu golongan memerlukan turut menjadi faktor yang menarik kehadiran gelandangan ke negeri itu.
“Orang selalu kata di Pulau Pinang sukar untuk mati kebuluran kerana ramai penderma. Keadaan itu secara tidak langsung menarik lebih ramai gelandangan datang ke sini. Di Pusat Transit ini sendiri terdapat penghuni dari negeri lain.
“Kerajaan negeri akan mempergiat kerjasama dengan JKM serta agensi berkaitan bagi melaksanakan operasi berkala sepanjang Ramadan untuk membantu golongan gelandangan.
“Saya berasa sedih melihat mereka tidur di kaki lima atau di lokasi tumpuan awam termasuk sekitar pusat bandar dan Penang Sentral di Butterworth. Mereka perlu dibantu dan ditempatkan di lokasi yang lebih selamat,” katanya. – MalaysiaGazette















