KUALA LUMPUR – Cadangan penyatuan UMNO dan Pas di Melaka disifatkan sebagai reaksi panik terhadap kemerosotan sokongan rakyat bukan bukti kekuatan sebenar kedua-dua parti.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, saranan tersebut mencerminkan kegelisahan dalaman UMNO yang semakin kehilangan pengaruh khususnya selepas prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Ini bukan lahir daripada kekuatan tetapi daripada kebimbangan terhadap realiti sokongan rakyat hari ini. Ia hanya cubaan menghidupkan semula naratif lama yang telah ditolak pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencadangkan penyatuan UMNO dan Pas bermula di Melaka.
Danish mengakui kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 namun menegaskan, keputusan itu berlaku dalam suasana luar biasa ketika pandemik Covid-19.
“Pilihan raya itu berlangsung dengan sekatan ketat dan kawalan pergerakan. Menjadikannya sebagai ukuran mutlak kekuatan UMNO hari ini adalah tidak jujur dari sudut analisis politik,” ujarnya.
Menurut beliau, kekuatan sebenar perlu diukur melalui PRU-15 apabila BN gagal memenangi satu pun daripada enam kerusi Parlimen di Melaka.
“Semua kerusi dimenangi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Ini fakta yang tidak boleh diputar belit. Rakyat telah membuat penilaian jelas,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kekuatan Pas peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disifatkan tidak signifikan.
“Menggabungkan dua kelemahan tidak semestinya melahirkan kekuatan. Politik bukan sekadar tambah undi tetapi soal keyakinan rakyat,” jelasnya.
Danish menegaskan, Keadilan dan Pakatan Harapan tidak pernah gentar menghadapi sebarang pertandingan.
“Kami yakin dengan dasar, rekod prestasi dan sokongan rakyat yang mahukan pentadbiran bersih serta politik matang,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama UMNO-Pas dalam pilihan raya akan datang, beliau berkata, landskap politik Melaka sudah berubah dan tidak lagi berpihak kepada BN seperti dahulu.
“Kerjasama ini tidak menakutkan kami. Malah membuka ruang untuk Pakatan Harapan memperkukuh prestasi di peringkat negeri dan Parlimen,” katanya.
Beliau turut menegaskan, politik masa depan perlu berteraskan penyelesaian, integriti dan pembaharuan bukan retorik perkauman atau sentimen sempit.
“Kami tidak bergantung kepada ilusi kekuatan. Kami yakin pada mandat rakyat dan bersedia menghadapinya pada bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette















