Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup masuk migran melalui laluan laut gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menahan 39 migran warga Indonesia pada 10 Februari lalu.

Tangkapan dilakukan pukul 5 pagi menerusi pelaksanaan Op Taring Delta di sekitar Sabak Bernam, Selangor.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dewasa, 17 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Turut diberkas dua lelaki yang dipercayai berperanan sebagai tekong.

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menggunakan rangkaian orang tengah di Indonesia dan Malaysia termasuk individu warga Indonesia dari Aceh yang telah lama menetap di negara ini.

“Mereka dipercayai menjadikan laluan laut di utara Selangor khususnya pesisir pantai Sabak Bernam sebagai pintu masuk dengan menggunakan kapal nelayan laut dalam bersaiz besar untuk membawa migran.

“Kegiatan itu dipercayai dilakukan antara 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Setiap migran dikenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,000 dengan urusan pembayaran dibuat melalui pindahan wang secara dalam talian,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Untuk rekod, dari 1 Januari hingga 12 Februari 2026, seramai 164 pendatang tanpa izin telah ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk 11 individu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Dalam tempoh sama, sebanyak 98 serbuan dilaksanakan di kawasan tanggungjawab briged berkenaan menyaksikan 170 individu ditahan serta pelbagai rampasan dengan nilai keseluruhan RM9 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast