Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri dalam isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di Selangor adalah selari dengan undang-undang sedia ada.

Ini kerana hanya mahkamah mempunyai kuasa mengisytiharkan sesuatu tindakan itu sebagai pencerobohan, kata Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya, Nik Saiful Adli Burhan.

Menurutnya, mengikut prinsip undang-undang, pencerobohan tanah merupakan kes sivil dan bukannya kesalahan jenayah.

Justeru katanya, ia memerlukan deklarasi serta perintah mahkamah sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan.

“Walaupun Kanun Tanah Negara menganggap pencerobohan sebagai satu kesalahan, individu atau pemilik tanah tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu tanah itu diceroboh tanpa keputusan mahkamah.

“Bercakap di kedai kopi boleh kata tanah kita diceroboh, tetapi untuk mengisytiharkan ia sebagai pencerobohan yang sah di sisi undang-undang, hanya mahkamah yang ada kuasa.

“Selepas itu barulah perintah pengusiran atau pengembalian tanah kepada keadaan asal boleh dilaksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Nik Saiful Adli berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Amirudin semalam yang menegaskan tindakan tidak boleh diambil secara sendiri tanpa melalui proses mahkamah jika berlaku pencerobohan tanah termasuk melibatkan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di negeri itu.

Menurut Amirudin, arahan itu adalah berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah.

Mengulas lanjut Nik Saiful menjelaskan, pencerobohan tanah dan pembinaan bangunan tanpa kebenaran adalah kes sivil, berbeza dengan pencerobohan jenayah seperti menceroboh rumah untuk mencuri atau merosakkan harta benda.

“Apabila ia kes sivil, polis tidak boleh terus menangkap kerana tiada elemen jenayah. Sebab itu perlu saman sivil dan mendapatkan perintah mahkamah, lazimnya di Mahkamah Tinggi, untuk satu deklarasi bahawa pencerobohan telah berlaku,” ujarnya.

Katanya, dalam keadaan tertentu, jika terdapat pertikaian atau pembelaan daripada pihak yang didakwa menceroboh, contohnya mendakwa mendapat kebenaran terdahulu atau telah menduduki tanah dalam tempoh lama, kes tersebut mungkin perlu melalui perbicaraan penuh.

“Mahkamah akan tentukan siapa pemilik sebenar, apa hak penceroboh dan apa hak tuan tanah. Proses ini penting bagi mengelakkan tindakan melampaui batas dan huru-hara,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang mencadangkan langkah termasuk membuat laporan polis sekiranya berlaku pencerobohan, Nik Saiful berkata, laporan polis boleh dibuat, namun tindakan lanjut tetap tertakluk kepada proses perundangan sivil.

“Laporan polis tidak menjadikan ia kes jenayah secara automatik. Penguatkuasaan secara langsung tidak boleh dibuat tanpa perintah mahkamah,” jelasnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai dakwaan prosedur sedemikan seolah-olah membebankan pemilik tanah kerana perlu menanggung kos guaman, beliau mengakui realitinya proses sivil memerlukan kos, namun ia bertujuan menjaga hak semua pihak.

“Undang-undang tidak membenarkan tindakan sendiri kerana jika dibuka ruang itu, ia boleh mencetuskan kekerasan dan ketegangan. Hak milik tidak berpindah hanya kerana pencerobohan berlaku lama, tetapi pengusiran tetap perlu melalui saluran mahkamah,” katanya.

Beliau menegaskan, kegagalan pemilik bertindak awal ketika pencerobohan baru berlaku juga boleh menyukarkan keadaan apabila struktur seperti rumah ibadat telah lama dibina dan digunakan.

“Kalau hari pertama nampak ceroboh dan terus ambil tindakan, mungkin berbeza. Tetapi, jika dibiarkan bertahun-tahun, mahkamah perlu menilai semua fakta sebelum membuat keputusan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kenyataan Amirudin tidak bercanggah dengan undang-undang atau mana-mana keputusan mahkamah terdahulu, sebaliknya hanya menjelaskan pelaksanaan undang-undang yang sedia ada.

“Tiada pilihan lain dalam sistem kita. Mesti dapatkan deklarasi dan perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum tanah dikembalikan kepada keadaan asal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast