Kilang berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak enam tahun lalu.

TASEK GELUGOR – Polis menahan lima lelaki termasuk dua warga asing yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan baja subsidi dengan rampasan bernilai RM771,000 menerusi serbuan Op Khas Taring Bravo 3 di sebuah kilang di sini, hari ini.

Serbuan dijalankan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan berusia 34 hingga 51 tahun dan masing-masing seorang warga Indonesia serta Myanmar berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

Katanya, dalam operasi itu pihaknya merampas pelbagai mesin dan jentera memproses baja, sebuah lori serta 47,000 kilogram (kg) baja dengan nilai keseluruhan RM771,000.

“Siasatan awal mendapati kilang haram berkenaan sudah beroperasi sejak enam tahun lalu.

“Modus operandi yang digunakan adalah baja-baja sebatian dan kimia bersubsidi yang diperoleh secara tidak sah itu akan diproses semula dengan campuran bahan lain bertujuan meningkatkan kuantiti sebelum dibungkuskan semula dengan bungkusan lain dan dijual dalam pasaran untuk kegunaan tanaman,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis heroin.

“Mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua tangkapan warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Selain itu, pemilik kilang juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI), selain turut dikompaun oleh MBSP kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah,” katanya.

“Kes diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast