Pengarah Kastam Negeri Pahang, Asri Seman menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan barangan e-waste yang diseludup dari luar negara yang melibatkan rampasan lapan buah kontena menerusi satu serbuan dengan anggaran nilai RM2.15 Juta di Pelabuhan Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 FEBRUARI 2026.

KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sisa elektronik (e-waste) dari luar negara membabitkan rampasan lapan kontena bernilai kira-kira RM2.15 juta dalam satu operasi di Pelabuhan Klang, Selangor, awal bulan ini.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman mendedahkan, rampasan itu dilakukan pada 3 Februari lalu kira-kira jam 11 pagi hasil maklumat risikan yang diperoleh di Bentong, Pahang.

Menurut beliau, hasil maklumat tersebut, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor melancarkan serbuan di CP-Hold Yard, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Pengarah Kastam Negeri Pahang, Asri Seman menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan barangan e-waste yang diseludup dari luar negara yang melibatkan rampasan lapan buah kontena menerusi satu serbuan dengan anggaran nilai RM2.15 Juta di Pelabuhan Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 FEBRUARI 2026.

“Pemeriksaan mendapati lapan kontena bersaiz 40 kaki itu mengandungi e-waste yang diimport tanpa permit import serta dibuat pengikraran tidak tepat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kata beliau, jumlah keseluruhan e-waste yang dirampas dianggarkan seberat 186,737 kilogram dengan nilai RM2,152,476.

Difahamkan, kontena-kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Klang dari Kanada, Croatia dan Sepanyol kira-kira dua minggu sebelum serbuan dijalankan.

Mohd Asri menjelaskan, pengimportan e-waste merupakan barangan larangan bersyarat yang hanya dibenarkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar, selaras Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Pengarah Kastam Negeri Pahang, Asri Seman menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan barangan e-waste yang diseludup dari luar negara yang melibatkan rampasan lapan buah kontena menerusi satu serbuan dengan anggaran nilai RM2.15 Juta di Pelabuhan Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 FEBRUARI 2026.

Katanya, kegagalan mendapatkan kelulusan tersebut menyebabkan barangan berkenaan disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi dengan mengikrarkan barangan sebagai ‘Copper Concentrate’ bagi mengelakkan keperluan permit import daripada Jabatan Alam Sekitar,” ujarnya.

Tambah beliau, taktik itu digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa serta memudahkan kemasukan barangan berkenaan ke dalam negara.

Menurutnya, keseluruhan siasatan kes kini dikendalikan oleh JKDM Pahang memandangkan maklumat awal diperoleh negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Asri berkata, semua barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.

Pegawai Kastam menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan barangan e-waste yang diseludup dari luar negara yang melibatkan rampasan lapan buah kontena menerusi satu serbuan dengan anggaran nilai RM2.15 Juta di Pelabuhan Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 FEBRUARI 2026.

“E-waste yang dirampas akan dihantar semula ke negara asal mengikut prosedur yang ditetapkan,” tegasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan secara tidak sah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah berkenaan.

Orang awam boleh menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Menurutnya, JKDM akan terus memperketatkan penguatkuasaan bagi memastikan negara tidak menjadi destinasi pelupusan haram sisa elektronik dari luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast