KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli akan meneruskan saman terhadap Caprice selepas peluang yang diberikan kepada pempengaruh itu untuk membuat penjelasan dan minta maaf tidak dipedulikan.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau sudah pun berbincang dengan peguamnya untuk menyaman Caprice.
Jelasnya, keputusan tersebut diputuskan selepas kandungan yang dibuat oleh Caprice telah menuduh beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat miliknya.
“Saya akan saman. Proses saman ini kita kena terangkan bagi penjelasan. Selepas kita bagi penjelasan, kita bagi dia peluang beri penjelasan kepada pendengar-pendengar dia dan kita bagi dia peluang minta maaf.
“Kita sudah beri semua peluang itu sejak tiga hari yang lepas. Bukan sahaja dia tidak minta maaf, tak kongsi tapi dia dok sibuk dengan satu-satunya ayat dia, koyak, koyak, koyak.
“Jadi sebab itu saya sudah bincang dengan peguam saya, kita akan teruskan saman kepada Caprice,” katanya menerusi podcast Yang Terhenti Menteri malam tadi.
Manakala perkara lain-lain berkaitan isu tersebut akan dilihat satu persatu, ujar beliau.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan juga mengulas kenyataan Caprice yang menyebut “kami tanya sahaja, oh dia tanya boleh, kami tanya tak boleh”.
Menjawab hujah itu, Rafizi menjelaskan pertanyaan berbentuk tuduhan atau sindiran tidak boleh dijadikan ‘defence’ (alasan) untuk menyelamatkan daripada tindakan saman di bawah undang-undang fitnah.
“Sebab ia ada konsep innuendo dan insinuation (sindiran halus). Dengan bertanya tetapi satu helah untuk mewujudkan innuendo atau menceritakan sesuatu dalam penceritaan, yang itu tetap bentuk fitnah,” katanya.
Semalam, Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya serta-merta dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.
Peguamnya berkata, notis tuntutan telah dihantar melalui e-mel kepada Rafizi.
Antara tuntutan itu termasuk menarik balik hantaran berkaitan, memadam semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah serta menghentikan sebarang kenyataan berunsur fitnah.
Gesaan itu susulan hantaran Rafizi menerusi laman sosial berhubung dakwaan Caprice kes rasuah berjumlah RM2.5 billion melibatkan kontrak kepada syarikat miliknya.
Namun, Caprice menafikan ada menyebut jumlah berkenaan dan perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.
Dalam masa sama, Rafizi juga menafikan wujud sebarang elemen rasuah dalam perjanjian kerajaan dengan syarikat semikonduktor yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Untuk membuktikan rasuah berlaku, katanya, ada elemen pemberi dan penerima dan campur tangan.
“Tapi ketiga-tiga itu tiada,” ujarnya. MalaysiaGazette
















