KUALA LUMPUR – Empat lelaki kini diburu polis disyaki terlibat dalam kejadian mencuri tabung Masjid Seksyen 7, Shah Alam dekat sini sehingga tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga pengawal keselamatan masjid itu berusia 30-an sekitar 10.36 pagi hari sama.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar 4 pagi semalam di mana suspek menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna silver dengan nombor pendaftaran tidak pasti dinaiki sekumpulan empat lelaki.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati masjid berkenaan dilengkapi dengan rakaman kamera litar tertutup dan polis akan mendapatkan rakaman kejadian daripada pihak pengurusan masjid untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dilakukan dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-2236697 atau hubungi IPD Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















