GEORGE TOWN – Seorang pemilik syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembersihan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM38,362.61.
Tertuduh, Mujeebur Rahman Hithayatullah, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menjalankan perniagaan di bawah syarikat Perkhidmatan SMI sebagai orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, didapati gagal membayar amaun cukai perkhidmatan bagi sembilan tempoh bercukai antara tahun 2023 dan 2024 berjumlah keseluruhan RM38,362.61 sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 26(4) akta berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Georgetown, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian Cukai Dalam Negeri (SST), Tingkat 6, Bangunan Tuanku Syed Putra, Lebuh Downing di sini.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah juga boleh mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 69(1) akta sama supaya amaun cukai perkhidmatan dan penalti dibayar kepada Ketua Pengarah Kastam.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), A. Uvarajan dan tiada peguam mewakili tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette















