PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus menyemai serta memperkukuh nilai kasih sayang, perpaduan, sikap bertolak ansur dan saling menghormati dalam kalangan mereka.
Saifuddin berkata, nilai-nilai itu perlu dijadikan tonggak serta budaya kerja seluruh warga kementerian dalam usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Ramadan mendidik kita supaya melembutkan hati melalui amalan kebajikan seperti memberi makan kepada golongan miskin serta menyantuni anak yatim sebagaimana dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di KDN hari ini.
Majlis yang diadakan di perkarangan Kompleks Setia Perkasa, di sini menampilkan penceramah jemputan, Marwan Bukhari A Hamid yang menyampaikan tazkirah khas Ramadan kepada para hadirin.
Dalam ucapannya, Saifuddin memaklumkan KDN telah merangka pelbagai program bersama anak yatim dan golongan asnaf sepanjang bulan Ramadan sebagai usaha mendekati serta membantu masyarakat yang memerlukan.
Kira-kira 1,000 warga KDN termasuk agensi-agensi di bawahnya hadir memeriahkan majlis tersebut yang kemudiannya disusuli dengan solat Maghrib dan terawih secara berjemaah. – MalaysiaGazette
















