KUALA LUMPUR — Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengalu-alukan pelantikan baharu dalam kepimpinan Jabatan Penyiaran Malaysia dengan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh landskap penyiaran negara.

Beliau menerusi satu kenyataan mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah atas pelantikan berkenaan.

“Selamat Datang ke keluarga Kementerian Komunikasi! Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, saudara Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah.

“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pelantikan itu dilihat bertepatan dengan keperluan semasa industri yang berdepan perubahan pesat ekoran perkembangan teknologi digital dan cabaran penyebaran maklumat tidak sahih.

Ashwad sebelum ini merupakan figura penting dalam dunia kewartawanan penyiaran tanah air apabila menerajui Astro Awani sebagai ketua pengarang.

Beliau mengumumkan pengunduran daripada stesen berita tersebut selepas hampir dua dekad bersama organisasi berkenaan termasuk lima tahun menerajui kepimpinan editorial.

Dalam kenyataan perpisahannya sebelum ini, Ashwad menyifatkan perjalanan 19 tahun bersama Astro Awani sebagai satu amanah besar yang sarat dengan pengalaman, cabaran dan pencapaian bermakna dalam membentuk landskap berita semasa negara.

Pelantikan beliau ke jawatan Ketua Pengarah Penyiaran dijangka membawa pendekatan segar dan strategik khususnya dalam memperkasa kandungan tempatan serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap media arus perdana.

Ashwad menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia mulai hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast