Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar menjelaskan, pertukaran Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ke Jabatan Peguam Negara (AGC), tidak menjejaskan kes yang sedang dikendalikannya ketika berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau memaklumkan, pertukaran pegawai adalah perkara biasa dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan pengalaman, kesinambungan kepimpinan, serta pengukuhan kapasiti organisasi.

Ujarnya, Wan Shaharudddin yang ketika ini Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM masih berupaya meneruskan tanggungjawab terhadap kes berkepentingan awam di samping diberi peluang mengendalikan rayuan di peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

“Saya menyeru semua pihak untuk melihat pertukaran ini sebagai langkah positif dalam memperkukuh peranan AGC dan memastikan pentadbiran keadilan negara terus berada pada tahap optimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Dusuki berkata, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan adalah salah satu cabang utama di AGC yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pendakwaan dan kelancaran proses rayuan di mahkamah atasan.

Katanya, penempatan Wan Shaharuddin di bahagian itu diyakini sesuai dengan kepakaran beliau serta memberi peluang untuk terus menyumbang secara langsung kepada pengendalian kes rayuan yang lebih kompleks dan berprofil tinggi.

“Pertukaran ini adalah sebahagian daripada amalan biasa dalam Perkhidmatan Awam yang menekankan prinsip pusingan kerja, pembangunan kerjaya dan pendedahan kepada bidang tugas yang pelbagai.

“Lazimnya, tempoh pusingan kerja bagi Pegawai Undang-Undang dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah antara tiga hingga lima tahun.

“Datuk Wan Shaharuddin telah berkhidmat selama lebih enam tahun di SPRM dan pertukaran ini adalah sejajar dengan amalan tersebut serta memberi peluang kepada beliau untuk memperluas pengalaman dalam bidang perbicaraan dan rayuan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Wan Shaharuddin hari ini mengesahkan akan kembali ke AGC selepas hampir tujuh tahun berkhidmat di SPRM bermula 2019.

Arahan pertukaran itu dimaklumkan melalui surat bertarikh semalam ditandatangani oleh Peguam Negara yang menyatakan pertukaran itu berkuat kuasa 2 Mac ini. Surat itu diperoleh pihak media hari ini.

Difahamkan, pertukaran itu tidak membabitkan kenaikan pangkat buat masa ini berdasarkan surat yang menyatakan ia adalah `jawatan terapung’.

Beliau merupakan timbalan pendakwa raya yang berpengalaman mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi dan kerap mengetuai pasukan pendakwaan SPRM bagi kes kepentingan awam.

Ia termasuk kes penyelewengan dana Armada melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menunggu keputusan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Wan Shaharuddin turut mengendalikan pendakwaan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang kini masih di peringkat akhir kes pendakwaan.

Beliau turut terlibat dalam pendakwaan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana pemalsuan dokumen.

Beliau ditukarkan ke SPRM pada 2019 ketika jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM disandang oleh Latheefa Koya.

Sebelum ke SPRM, Wan Shaharuddin berkhidmat selama 24 tahun di AGC serta mengendalikan sejumlah kes berprofil tinggi dan kepentingan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast