PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesahkan terdapat pelanggaran arahan berhubung larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang oleh pegawai yang sedang bertugas.

EAIC dalam kenyataa berkata, siasatan itu dijalankan susulan aduan terhadap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membabitkan 47 klien pusat berkenaan yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan itu dilaksanakan selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] bagi meneliti dakwaan dan mengenal pasti sekiranya wujud salah laku dalam kalangan pegawai terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah EAIC, hasil penelitian mendapati terdapat pegawai yang melanggar arahan berkaitan larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam premis PUSPEN ketika sedang bertugas.

“Susulan itu, EAIC memutuskan supaya hasil siasatan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

“Ia kerana ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan secara munasabah sebagai ingkar perintah seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama,” jelasnya.

Pada masa sama, EAIC turut mengesyorkan agar satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Selain itu, beberapa langkah penambahbaikan dicadangkan termasuk pindaan terhadap Perintah Tetap Ketua Pengarah, pemberian latihan kepada pegawai penyiasat termasuk pindaan terhadap Sasaran Kerja Utama supaya proses flushing dilaksanakan dengan lebih kerap bagi mengelakkan kejadian berulang.

EAIC juga menegaskan, keperluan kawal selia yang lebih ketat bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke PUSPEN pada masa hadapan serta integriti pengurusan pusat pemulihan sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast