Kompleks Mahkamah Selayang.

SELAYANG – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian abangnya, Disember tahun lalu.

M. Kubendran, 31, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azlin Othman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian M. Kagendran, 36, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di Selayang Baru, Batu Caves, di sini pukul 3.40 pagi pada 2 Disember tahun lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak mencadangkan sebarang jaminan berikutan ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Pihak pendakwaan kekal dengan pendirian tidak mencadangkan sebarang jumlah jaminan kerana tiada alasan keadaan istimewa yang membolehkan tertuduh diikat jamin. Tambahan pula, ini adalah kes berat,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Kisho Kumar memohon jaminan dibenarkan dengan mengambil kira anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara isteri, tiga anak dan ibu bapanya.

“Sekiranya jaminan dibenarkan, isterinya bersedia menjadi penjamin dan kami menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan sebarang jumlah jaminan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Tarikh 4 Mei ini ditetapkan bagi sebutan kes.

Sebelum ini, media melaporkan pergaduhan adik-beradik bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dipercayai dibunuh adik kandungnya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir dilaporkan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 36 tahun memaklumkan suaminya bergaduh dengan adik lelakinya.

Menurut beliau, mangsa yang diserang di kediamannya di Selayang Baru, Batu Caves di sini, mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada hari sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast