KUANTAN – Bapa kepada pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang dituduh mencemar kesucian al-Quran dan membuat hantaran jelik melampau di media sosial mengakui tidak tahu mengenai dakwaan anaknya itu telah memeluk Islam.
Perkara itu dimaklumkan peguam kepada lelaki berkenaan iaitu Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman selepas pihak wartawan cuba mendapatkan penjelasan daripada bapa tertuduh mengenai perkara itu.
Jelasnya, bapa pelajar itu, K. Selvanathan juga belum bersedia untuk menjawab sebarang soalan daripada wartawan ketika ini.
“Kalau tanya dia, dia akan jawab ‘no komen’. Sebab dia (bapa pelajar) pun tidak tahu mengenai (dakwaan) anaknya peluk Islam,” katanya ringkas ketika ditemui di pintu Mahkamah Kuantan, di sini hari ini.
Semalam pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi hantarannya di laman media sosial mendedahkan bahawa pelajar itu merupakan seorang mualaf yang sudah melafazkan syahadah pada 25 April tahun lalu.
Katanya, pemuda terbabit sebelum ini menghubunginya melalui laman Instagram dan bersungguh-sungguh meminta dibimbing untuk memeluk Islam.
Bagaimanapun, kejadian baru-baru ini apabila Vikneswaran dilaporkan membuat hantaran jelik dan memuat naik gambar memijak al-Quran dan membuat hantaran menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial menimbulkan persoalan kepada pendakwah bebas itu.
Tindakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi tempatan itu turut mencetuskan kemarahan banyak pihak yang seterusnya membawa gesaan kepada pihak polis untuk tindakan diambil ke atasnya.
Bimbang mengenai keselamatan anak bongsunya itu, bapa mangsa kemudian bertindak membawa anaknya ke balai polis bagi membuat permohonan maaf dan polis telah menahan pelajar berkenaan untuk tindakan lanjut.
Selepas tujuh hari ditahan reman, Vikneswaran hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. – MalaysiaGazette















