PUTRAJAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap penglibatan remaja sekolah dalam aktiviti berkaitan kumpulan pengganas di negara ini selepas enam individu termasuk tiga pelajar bawah umur ditahan dalam operasi khas polis baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, pendedahan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail itu perlu diberi perhatian serius kerana ia menunjukkan wujud salah didikan serta pendedahan yang membawa golongan muda ke arah fahaman keganasan.
“Baru-baru ini sahaja muncul anak-anak sekolah, belasan tahun pun terlibat dalam persiapan kegiatan ke arah keganasan seperti diumumkan Ketua Polis Negara. Anak-anak kita salah didikan, salah pendedahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum ini, Mohd Khalid memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini melalui penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur dalam satu operasi khas.
Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi selama dua hari bermula 14 Februari yang dijalankan oleh Cawangan Khas di beberapa lokasi termasuk Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mengekalkan perpaduan serta tidak mengambil sikap selesa terhadap keamanan yang dikecapi ketika ini.
“Jangan kita ambil sikap selesa kerana budaya complacency atau contentment. Sebab itu badan pertahanan kita sentiasa bersiap siaga.
“Ada rencana luar yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita. Ini harus menyebabkan kita lebih waspada,” katanya. – MalaysiaGazette
















