KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran ganja bernilai lebih RM10 juta di ibu negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, rampasan dilakukan ketika pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang diletakkan di hadapan sebuah rumah teres di Taman Sri Rampai, di sini.
“Serbuan yang dijalankan menemukan 10 kotak mengandungi dadah disyaki bunga ganja seberat 124.7 kilogram. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.2 juta yang dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 249,000 penagih jika diedarkan ke pasaran.
“Sindiket itu dipercayai aktif sejak Oktober 2025 dengan modus operandi membawa bekalan bunga ganja dari utara Semenanjung ke selatan Semenanjung sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang menggunakan lori sebagai medium pengangkutan,” katanya.
Menurut Hussein, siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai koordinator sindiket manakala dua lagi bertindak sebagai runner yang menguruskan penghantaran dadah.
Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Mac bagi membantu siasatan. Semakan mendapati suspek kedua mempunyai satu rekod kes dadah manakala suspek ketiga memiliki tiga rekod jenayah lampau.
“Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dianggarkan bernilai RM85,000 mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – MalaysiaGazette
















