Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan 11 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tangkapan melibatkan 10 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 60 tahun.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sembilan individu telah dibebaskan dengan tujuh daripadanya dilepaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah manakala dua lagi diberi jaminan polis.

“Daripada sembilan individu yang dibebaskan itu, enam orang turut dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dadah.

“Dua lagi suspek masih ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan serta meneliti keterangan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut sebelum dibawa ke muka pengadilan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis melalui talian MERS 999 atau menghubungi pegawai penyiasat, ASP Rosli Hanafi di talian 019-2022210, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian 5.40 pagi, 25 Feb lepas, kereta Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin ditembak di susur ke Masjid Al Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast