KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pendaftaran tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero sebagai pemain tempatan mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025-2026.
MFL menjelaskan, ia merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai dan Pemain, Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT) dan Perkara C berkaitan Pemain Tempatan dan Asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perkara ini turut dijelaskan menerusi surat pekeliling kepada semua kelab bertarikh 12 Jun 2025.

“Jelas empat pemain ini sudah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan Liga Malaysia 2025-2026.
“Justeru MFL mengesahkan tiada pelanggaran peraturan dilakukan dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab mereka pada musim ini.
“Bagaimanapun empat pemain berkenaan masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan dalam perlawanan rasmi seperti yang diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini,” menurut kenyataan MFL.
Empat pemain terbabit bersama tiga lagi pemain iaitu Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado dikenakan hukuman oleh FIFA susulan daripada kes pemalsuan dokumen. – MalaysiaGazette
















