KUALA LUMPUR – Perang yang dilancarkan oleh Israel ketika ini didakwa bertujuan melakar peta baharu Asia Barat yang digerakkan oleh Zionis bersama sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Ia selaras dengan agenda mewujudkan Greater Israel yang meliputi wilayah dari Sungai Nil di Mesir hingga Sungai Furat di Iraq serta dari Laut Mediterranean hingga Laut Merah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, agenda tersebut sekali gus dilihat bertujuan mengubah semula peta geopolitik yang terbentuk menerusi Perjanjian Sykes-Picot.
Menurutnya, beberapa kumpulan Islam seperti Jemaah Islamiyah, Hamas, Tanzim Jihad, Hezbollah dan Ansarullah didakwa mendapat sokongan daripada Iran dalam usaha menentang Israel dan sekutunya.
Beliau mendakwa, kumpulan tersebut meneruskan perjuangan untuk membebaskan Palestin serta tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Susulan itu, katanya, mereka dianggap sebagai musuh utama yang mahu dihapuskan atas alasan keselamatan dan keamanan Israel.
“Negara-negara yang terbentuk hasil pembahagian wilayah melalui Perjanjian Sykes-Picot kini menerima perlindungan ketenteraan melalui pangkalan tentera negara bersekutu, malah bersedia menjadi pangkalan operasi bagi peperangan yang dicetuskan bagi membantu AS dan Israel.
“Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut digunakan untuk mengutuk Iran selepas negara itu menyerang pangkalan negara bersekutu dengan alasan menyerang negara jiran, walaupun menurutnya sasaran Iran bukanlah negara jiran berkenaan,” dakwanya menerusi hantaran Minda Presiden Pas di Facebook.
Abdul Hadi berkata, situasi itu menunjukkan wujudnya manipulasi politik yang dianggap zalim serta bertentangan dengan hukum Islam yang melarang membantu pihak musuh yang menyerang umat Islam atau menghalang usaha menegakkan semula negara Islam yang berdaulat. – MalaysiaGazette
















