KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus mempergiat usaha membantu kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi penyaluran Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada golongan yang memerlukan.
Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Khalid berkata, seramai 72 pelajar asnaf dari Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM36,000.
“Menerusi inisiatif itu, setiap pelajar menerima RM500 secara sekali bayar yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.
“Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan khususnya peminjam PTPTN, selain membantu mereka menampung kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
“Bantuan berkenaan diharap dapat membantu pelajar menangani cabaran kewangan sekali gus memberi sokongan tambahan sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya ketika hadir pada Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di sini hari ini.

Sementara itu, penerima sumbangan, Ahmad Akashah Shamsul Maharim Politeknik Nilai meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

Katanya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan tanpa perlu terlalu bergantung kepada ibu bapanya.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana PTPTN prihatin terhadap mahasiswa seperti saya. Bantuan ini memberi kesan positif kepada kehidupan saya sebagai pelajar.
“Saya akan menggunakan wang ini untuk membayar sebahagian yuran pengajian serta membeli keperluan pembelajaran seperti buku rujukan, alat tulis dan barangan keperluan harian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Seorang lagi penerima, Nor Najwa Jasman dari Politeknik Nilai turut menyifatkan bantuan berkenaan sebagai suntikan motivasi untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Bagi pelajar Politeknik Port Dickson, Rabiatuladawiyah Rabudin, bantuan tersebut memberi kelegaan dalam menampung kos berkaitan pembelajaran.
“Saya sangat bersyukur kerana bantuan ini banyak membantu dari segi kewangan.

“Saya akan gunakan wang ini untuk membeli bahan rujukan dan peralatan pembelajaran. Pada masa sama, saya akan berusaha meningkatkan prestasi akademik dan mencapai keputusan yang lebih baik,” katanya.
Dia turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan. – MalaysiaGazette
















