Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 3/2026

KUALA LUMPUR – Beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas akan dilaksanakan segera bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara susulan ketegangan yang sedang berlaku di Asia Barat kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.

“Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 3/2026 bagi meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik di Asia Barat.

“Walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan akan terus memantau rapat situasi di Asia Barat dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat.

Katanya, dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast