KUALA LUMPUR – Pulau Langkawi perlu mendapat hak subsidi diesel seperti mana di Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan kos sosial ekonomi tidak membebankan rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Mohd Radhi Abdul Rahim berkata, rakyat Langkawi juga adalah rakyat Malaysia dan mereka tidak wajar dipinggirkan daripada hak tersebut.
“Apa yang dituntut bukanlah keistimewaan, tetapi hak kepada sistem pengangkutan awam yang adil, stabil dan terjamin demi kelangsungan hidup serta pembangunan ekonomi setempat.
Rabu lalu, kerajaan melakukan penyelarasan semula harga runcit produk petroleum, di mana diesel dijual pada harga RM5.15 seliter bagi Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak masih kekal RM2.15 seliter dari 26 Mac hingga 1 April 2026.

Radhi juga berkata, peningkatan harga diesel bukan sahaja membebankan pemilik kenderaan pacuan empat roda bahkan meningkatkan kos operasi pengusaha feri di Langkawi.
“Perkhidmatan feri bukan hanya satu perniagaan, bahkan menjadi pengangkutan utama 80 peratus penduduk Langkawi ke tanah besar sejak sebelum merdeka.
“Ia menjadi tulang belakang kepada pergerakan rakyat, industri pelancongan dan ekonomi tempatan dan merupakan nadi kehidupan rakyat termasuk urusan keluarga, perkhidmatan kerajaan, aktiviti sosial serta sektor pelancongan.
“Namun begitu, perkhidmatan ini masih berdepan masalah ketidakstabilan dan pelbagai isu berpanjangan yang belum diselesaikan secara menyeluruh,” katanya.
Radhi juga berkata, rakyat terpaksa menanggung kos perjalanan yang lebih tinggi, manakala urusan harian seperti kesihatan, pendidikan dan pekerjaan menjadi semakin sukar.
“Kesan daripada ketidakstabilan ini amat dirasai oleh rakyat dan ekonomi setempat,” katanya.
Selain itu, katanya, pelancong mula beralih ke laluan lain, sekali gus menjejaskan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan.
“Peniaga kecil turut kehilangan pelanggan, menyebabkan pendapatan merosot dan aktiviti ekonomi tempatan menjadi semakin perlahan,” katanya.
Lebih membimbangkan katanya, sektor pelancongan laut turut menerima impaknya apabila pengusaha “island hopping” kehilangan pelanggan akibat pengurangan ketibaan pelancong, manakala operator “mangrove tour” turut terjejas.
“Perkhidmatan bot tambang ke Pulau Tuba dan Selat juga mengalami kekurangan penumpang, sekali gus menjadikan pendapatan tekong bot dan pekerja marin semakin tidak menentu.
“Malah, keseluruhan rantaian ekonomi pelancongan laut termasuk bekalan minyak, penyelenggaraan dan tenaga kerja turut menerima kesan negatif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















