KUALA LUMPUR – Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah semalam menyerahkan memorandum secara serentak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau bagi menuntut penjelasan berhubung kelewatan siasatan skandal perlombongan yang didedahkan sejak November 2024.
Menurut ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, seramai 15 tokoh berprofil tinggi daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa terpalit dalam kegiatan rasuah tersebut, namun setakat ini hanya dua individu telah didakwa di mahkamah manakala, 13 lagi masih bebas.
Dakwanya, sebahagian daripada individu yang belum didakwa itu turut dilantik ke jawatan penting dalam kepimpinan negeri susulan ketiadaan perkembangan siasatan oleh pihak SPRM.
Beliau turut menghargai tindakan ADUN Warisan yang disifatkan berani menyuarakan isu berkenaan, sekaligus mempertahankan prinsip keadilan.
“Saya tidak pernah berputus asa untuk mendesak SPRM mengheret baki 13 individu yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Albert menegaskan, beliau akan terus berjuang walaupun berdepan tekanan dan layanan tidak adil daripada pihak tertentu, selain menekankan kepentingan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang sebagai asas kepada kedaulatan undang-undang negara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kuasa politik bukan bersifat kekal sambil merujuk kepada sejarah kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU14) serta kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai contoh bahawa pemimpin boleh disiasat dan didakwa apabila berdepan perubahan sokongan rakyat dan undang-undang. – MalaysiaGazette
















