Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata parti itu mengarahkan dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) di Wangsa Maju supaya melepaskan jawatan serta-merta.

Ini susulan dakwaan terlibat dalam isu ‘wang perlindungan’.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas Biro Politik Keadilan Wilayah Persekutuan meneliti secara mendalam video tular melibatkan R Vijeyndran dan G Paarthiydasan yang didakwa meminta bayaran daripada sebuah premis perniagaan.

“Biro Politik mengarahkan Cabang Wangsa Maju supaya segera memaklumkan kepada kedua-dua individu berkenaan agar melepaskan jawatan sebagai ahli MPPWP dengan serta-merta.

”Ini bagi memberi laluan sepenuhnya kepada siasatan polis dan siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman menegaskan, parti itu tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku termasuk amalan pemerasan atau penyalahgunaan kuasa.

“Tadbir urus bersih adalah prinsip yang tidak boleh ditawar. Parti tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan seperti ini. Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Biro Politik turut menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mempertingkat pemantauan terhadap aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju.

“Pemantauan yang lebih teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang atau syarat lesen premis berlaku pada masa hadapan,” tegasnya.

Selain itu, Jawatankuasa Disiplin Keadilan Wilayah Persekutuan turut diarahkan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung perkara tersebut dan membentangkan dapatan dalam masa terdekat.

Azman turut mengingatkan kedudukan sebagai wakil penduduk merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi. KEADILAN komited untuk terus memperjuangkan tadbir urus yang bersih, telus dan berkeadilan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Kelmarin tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut.

Difahamkan, wang itu sebagai perlindungan daripada sebarang tindakan penutupan premis berikutan terdapat aduan penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau aduan kepada Unit Integriti JWP, DBKL dan SPRM sekiranya terdapat sebarang salah laku oleh MPP, pegawai atau anggota di bawah seliaan jabatannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast