Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penyelarasan sementara kelayakan penggunaan subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini dilihat sebagai langkah realistik kerajaan menangani tekanan ekonomi semasa meskipun masih memberi cabaran kepada segelintir rakyat.

Bagi pengguna, Nur Adila Nastasha Nor Ismail, 27, menyifatkan keputusan itu sebagai jalan terbaik buat masa ini.

Menurutnya, perbelanjaan minyak sekitar RM50 seminggu masih dalam kawalan dan subsidi sedia ada tidak terlalu membebankan.

“Dalam keadaan sekarang, kita tak boleh salahkan kerajaan sepenuhnya kerana faktor global turut memainkan peranan. Sekurang-kurangnya kita tidak perlu membayar harga sebenar minyak yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Nor Adila Natasha Nor Ismail. Foto SADIQ SANI, 29 MAC 2026.

Nur Adila berpandangan langkah tersebut wajar diteruskan sementara waktu selain yakin kerajaan akan melakukan penambahbaikan pada masa depan.

Pandangan sama dikongsi Mohamad Nafis Ismail, 38, yang menyifatkan penggunaan antara 200 hingga 300 liter sebulan masih mencukupi bagi kebanyakan pengguna biasa.

Pelanggan, Muhamad Nafis Ismail. Foto SADIQ SANI, 29 MAC 2026.

“Untuk kegunaan biasa, saya rasa masih okey. Cuma mereka yang kerap menggunakan kenderaan mungkin akan terkesan. Dalam situasi sekarang, kita juga perlu berjimat dan lebih berhemah,” katanya.

Tambahnya, peningkatan kos bahan api turut memberi tekanan kepada pengguna, sekali gus mendorong mereka mempertimbangkan alternatif seperti pengangkutan awam.

Sementara itu, Sufi Muaz Misry, 20, pula berpendapat, had 200 liter sebulan tidak membebankan bagi individu yang jarang memandu.

“Untuk saya, nak capai 200 liter pun susah sebab jarang guna kereta. Jadi bagi saya masih okey. Tapi kalau ulang-alik jauh setiap hari, memang akan terasa,” katanya.

Sufi Muaz Misry. Foto SADIQ SANI, 29 MAC 2026.

Menurutnya, langkah itu dapat mengelak pembaziran namun kerajaan disaran mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel untuk golongan yang memerlukan penggunaan lebih tinggi.

Dalam pada itu, Amirul Haikal Abdul Rahman, 23, berpandangan had baharu tersebut agak membebankan khususnya bagi isi rumah yang memiliki lebih daripada satu kenderaan.

“Saya ada beberapa kenderaan, jadi penggunaan memang tinggi dan boleh melebihi 300 liter sebulan. Bila had diturunkan, memang terasa terbeban,” katanya.

Amirul Haikal Abdul Rahman. Foto SADIQ SANI, 29 MAC 2026.

Beliau menambah, golongan yang menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) atau kerap melakukan perjalanan jauh antara yang paling terkesan, sekali gus memerlukan perancangan perjalanan yang lebih teliti.

“Saya harap kerajaan dapat menambah baik pelaksanaan ini dalam masa terdekat supaya lebih adil kepada semua,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Syarif Fitri Shuhaiza, 27,  berpandangan had 200 liter mencukupi buat masa ini namun bimbang dengan kemungkinan perubahan dasar subsidi pada masa akan datang.

Muhammad Syarif Fitri Shuhaiza.

Katanya, pelaksanaan BUDI95 sebelum ini membantu mengawal ketirisan dan memberi penjimatan kepada kerajaan.

“Subsidi ini sebenarnya bagus kerana dapat mengurangkan pembaziran dan ketirisan. Pada masa sama, kerajaan juga boleh jimat dan gunakan untuk tempoh tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast