KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1.44 bilion jurang pembiayaan masih diperlukan bagi memastikan usaha konservasi hutan di negara ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keperluan kewangan yang tinggi itu menunjukkan usaha pemuliharaan hutan memerlukan penglibatan aktif syarikat dan sektor korporat lain.
Sehubungan itu, tambah beliau, Forest Conservation Certificate (FCC) diperkenalkan di bawah Malaysia Forest Fund (MFF) sebagai platform konservasi yang diyakini, selain berperanan sebagai mekanisme pengesahan pihak ketiga bagi menarik penyertaan syarikat dan korporat.
“Usaha konservasi hutan memerlukan perbelanjaan yang besar dan ketika ini kita masih mempunyai jurang pembiayaan melebihi RM1.4 bilion bagi memastikan hasil yang diinginkan dapat dicapai.
“Justeru, kita perlu satu sistem verifikasi yang kukuh supaya syarikat yang menyumbang mempunyai jaminan bahawa dana mereka digunakan untuk tujuan yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berucap pada program Forest Conservation Certificate As
Malaysia’s Trusted Platform For Conservation Finance di sini hari ini.
Menurut Arthur, kerajaan turut menawarkan insentif potongan cukai sebanyak 10 peratus kepada syarikat yang menyumbang kepada usaha konservasi.
Setakat ini, katanya, MFF menyasarkan mobilisasi dana sebanyak RM32 juta, dengan 29 permohonan diterima daripada pelbagai syarikat di seluruh negara, manakala sembilan projek telah diluluskan.
Tambah beliau, penyertaan terbuka kepada semua termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa mengira saiz, namun tertakluk kepada proses verifikasi yang ditetapkan.
“Kita mengalu-alukan lebih banyak syarikat termasuk PKS untuk bersama-sama membantu kerana keperluan dana masih tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, satu perjanjian pemuliharaan dimeterai bagi projek penjaga gunung di Selangor melibatkan kerjasama antara MFF, Vantage Data Centers dan Your Idea Maker.
Projek itu dilaksanakan di Hutan Warisan Diraja Selangor meliputi kawasan seluas 108,000 hektar, dengan fokus kepada pemerkasaan komuniti Orang Asli di Kampung Gerachi, Pertak dan Ulu Batu 9.
Antara inisiatif dilaksanakan termasuk kerja persempadanan hutan, penanaman semula serta pemeliharaan kawasan sungai.
Arthur menjelaskan, usaha konservasi turut dilaksanakan di beberapa negeri lain termasuk Sabah, Sarawak dan Pahang, namun kekangan dana kekal menjadi cabaran utama.
Tambahnya, kerajaan juga menggalakkan syarikat untuk ‘mengangkat’ kawasan hutan simpan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mempercepatkan usaha pemuliharaan.
“Sekiranya lebih banyak syarikat tampil menyumbang, kita dapat mengurangkan jurang pembiayaan dan memperluaskan lagi usaha konservasi di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















