KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd (IJM), IJM Construction Sdn Bhd (IJMC) telah menerima surat anugerah daripada Sime Darby Property (EBP Asset II) Sdn Bhd (SDPEBP II) untuk pembinaan dan penyiapan pusat data hiperskala (Pakej 2) di Elmina Business Park, Selangor.
IJM berkata, pembinaan bernilai RM658.01 juta itu adalah lanjutan kepada kerja bangunan utama (teras dan cangkang) pusat data hiperskala di Elmina Business Park, Selangor (Pakej 1) yang dianugerahkan kepada IJMC oleh SDPEBP II pada 24 Okt 2025.
Projek itu melibatkan pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan satu bangunan pusat data, termasuk kemudahan sampingan yang berkaitan, katanya melalui makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pembinaan dijadualkan bermula pada suku kedua 2026 dan dijangka siap menjelang suku ketiga 2027.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan.
IJM menambah memandangkan projek itu dianugerahkan oleh SDPEBP II kepada IJMC melalui tender awam, pemberian itu tidak dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan (RPT) berdasarkan Perenggan 10.08 (11)(j) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (MMLR). – BERNAMA
















