Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Bukhari Zakaria, 66 dan isterinya Siti Aidah Mustapha, 54 menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk pulang ke kampung halaman di Kempas, Johor Bharu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur Sentral. Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan ETS Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan jumlah keseluruhan 292,033 penumpang sepanjang tempoh pergerakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 (17 Mac – 29 Mac 2026).

Prestasi itu merekodkan peningkatan sebanyak 109% berbanding tahun 2025.

KTMB berkata, lonjakan ini mencerminkan kepercayaan berterusan pengguna terhadap ETS sebagai pilihan utama bagi perjalanan jarak jauh yang lebih pantas, selesa dan efisien, khususnya dalam menghadapi peningkatan trafik semasa musim perayaan.

Perkhidmatan Intercity, iaitu Ekspres Rakyat Timuran (ERT) pula mencatatkan jumlah penumpang seramai 20,969 berbanding 14,039 penumpang pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 49%.

Selain itu, tren Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA), iaitu perkhidmatan tren khas sempena hari raya yang menggunakan koc terpilih bagi laluan Pantai Timur dan Utara, merekodkan seramai 1,671 penumpang melalui enam perkhidmatan sepanjang tempoh tersebut.

Keupayaan operasi pada tahun ini turut diperkukuh melalui penggunaan sepenuhnya set tren ETS3 baharu yang membolehkan peningkatan kapasiti tempat duduk serta meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan.

Bagi menyokong permintaan tinggi sempena Aidilfitri, KTMB juga memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus khususnya bagi laluan KL Sentral – Ipoh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan permintaan serta melancarkan aliran penumpang pada waktu puncak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, secara keseluruhannya sambutan pengguna terhadap perkhidmatan KTMB amat menggalakkan dengan sebanyak 314,673 tiket berjaya dijual, bersamaan 99.99% kadar pengisian tempat duduk sepanjang tempoh Aidilfitri kali ini.

Ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap perkhidmatan rel sebagai pilihan utama rakyat.

Beliau turut menambah, dari aspek operasi, prestasi ketepatan masa ETS meningkat kepada 95%, berbanding 94% pada tahun sebelumnya. KTMB terus memberi penekanan kepada pemantauan operasi secara masa nyata, penyelenggaraan aset serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil walaupun berdepan peningkatan pergerakan penumpang.

Dalam memastikan kelancaran operasi sepanjang musim perayaan, KTMB turut mempergiatkan langkah keselamatan termasuk pemantauan kawasan landasan, kawalan terhadap pencerobohan, serta usaha berterusan dalam menangani isu kecurian kabel dan gangguan sistem.

KTMB komited untuk terus mempertingkatkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan rel negara melalui penambahbaikan berterusan, pengukuhan keupayaan aset tren serta perancangan operasi yang lebih strategik, demi memberikan pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan lancar kepada seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast