Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik bercakap pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan Kewangan Kumpulan PETRONAS 2025 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Harga diesel di Thailand lebih murah berbanding Malaysia kerana negara jiran itu mengamalkan langkah sokongan ke atas bahan api itu yang mendapat sedikit perlindungan dalam membendung kenaikan harga.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, ia dikenali sebagai dana bahan api minyak – salah satu mekanisme subsidi yang bukan bersasar tetapi dibuat secara menyeluruh.

Namun jelas beliau, pengumuman kerajaan Thailand akhir Mac lalu yang akan mengamalkan subsidi lebih bersasar membolehkan harga diesel antara kedua negara itu lebih kurang sama.

“Rasanya ini soalan yang panas dan kalau kita bualkan ada sedikit kekeliruan. Di Thailand, harga diesel itu (mereka) disokong dan ada ada perlindungan sedikit melalui apa yang mereka kata oil fuel fund.

“Ia adalah salah satu mekanisme subsidi yang bukan bersasar tetapi secara menyeluruh.

“Di Malaysia seperti kita semua tahu, subsidinya bersasar tetapi tidak silap saya dalam akhir Mac baru-baru ini, Kerajaan Thailand telah ambil pendekatan supaya subsidi lebih bersasar dan kalau kesan subsidi itu tidak ada, perbandingan hampir sama melebihi di pam sekarang (Thailand) di mana harganya lebih RM6 seliter,” katanya.

Beliau berkata demikan pada program Bicara Naratif Khas bertajuk Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global Bersama yang disiarkan di TV1 dan RTMKlik malam ini.

Beliau menjawab soalan moderator program yang juga Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Ashwad ismail yang bertanya soalan kenapa harga diesel di Thailand lebih murah berbanding harga di negara ini.

Bermula semalam, harga diesel di Thailand meningkat sebanyak 3.50 baht seliter selepas Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak meluluskan pengurangan kadar subsidi diesel pada Rabu lalu.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata, keputusan berkenaan didorong oleh ketidaktentuan berterusan harga minyak global yang kekal tinggi dengan trend meningkat.

Dalam mesyuaratnya 1 April lalu, jawatankuasa memutuskan untuk mengurangkan subsidi diesel di bawah Dana Bahan Api Minyak sebanyak 4.11 baht seliter daripada 21.89 baht kepada 17.78 baht seliter, selaras dengan keadaan pasaran dan bagi mengekalkan kecairan dana.

Susulan keputusan itu, harga runcit domestik bagi diesel di Thailand meningkat kepada 44.24 baht seliter (RM5.47) berkuat kuasa semalam.

Di Malaysia, harga runcit diesel di Semenanjung meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh semalam hingga 8 April ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan turut memaklumkan, harga runcit petrol RON97 bagaimanapun turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter bagi tempoh sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast