Fahmi Fadzil dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan diselaraskan bagi kegunaan penjawat awam yang terlibat dengan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan melakukan penyelarasan tersebut dan tiada halangan bagi kemudahan internet dan fasiliti lain di NADI digunakan bagi BDR.

Jelasnya, ini memandangkan pusat berkenaan selama ini turut dimanfaatkan oleh pelbagai agensi dan jabatan bagi menjalankan mesyuarat dalam talian dan sebagainya.

“Saya akan selaraskan dengan semua NADI di bandar utama yang berkait dengan pengumuman dasar BDR ini untuk menjadi tempat sekiranya komuniti ingin datang sama ada untuk bekerja.

“Mereka boleh memanfaatkan fasiliti dan internet yang ada dan mereka juga boleh memanfaatkan NADI sebagai rumah kedua untuk dijadikan tempat bekerja.

“Memang pada waktu ini, banyak NADI yang dimanfaatkan untuk tujuan ‘online meeting‘ bagi badan dan agensi seperti Amanah Ikhtiar dan lain-lain. Jadi, saya tidak lihat ada halangan untuk kita perluaskan penggunaan NADI bagi tujuan BDR,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Kanan, Pejabat Wilayah Selatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Rizal Abd Malek.

Fahmi berkata, NADI akan terus beroperasi pada waktu bekerja seperti sebelum ini walaupun penggunaan pusat itu akan diperluas ketika pelaksanaan BDR kelak.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam di peringkat Persekutuan berkuat kuasa 15 April ini.

Setakat hari ini, terdapat 1,098 NADI di seluruh negara dengan 101 NADI di Johor dan terdapat sebuah NADI baharu yang sedang dibina di Parlimen Sepanggar, Sabah dijangka siap dalam dua hingga tiga bulan lagi.

Jumlah ahli yang berdaftar di NADI seluruh negara adalah seramai 1.9 juta orang dengan 200,000 ahli di Johor.

Mengulas mengenai pelantikan 26 Pengerusi Panel Penasihat NADI di Johor, Fahmi berkata, mereka yang dilantik akan bekerjasama dengan pengurus dan penolong pengurus NADI untuk melaksanakan program bukan hanya di premis NADI, tetapi juga di kawasan luar seperti sekolah atau kawasan kejiranan.

Katanya, ini bertujuan memanfaatkan program yang ada di NADI termasuk program keusahawanan, celik digital, program yang membabitkan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya supaya manfaat NADI dapat dirasai luar dari lingkungan dua hingga tiga kilometer dari premis NADI itu sendiri.

“Saya juga akan mengadakan dari semasa ke semasa sesi taklimat dan penerangan bersama semua Pengerusi Panel Penasihat ini supaya mereka mendapat maklumat terkini berkenaan dasar kerajaan dan pengumuman penting.

“Saya harap dengan penyampaian maklumat kepada pengerusi panel penasihat ini akan dapat seterusnya disampaikan kepada komuniti setempat,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, NADI akan berkerjasama dengan Jabatan Penerangan bagi menyantuni komuniti setempat menerusi Pengerusi Komuniti Madani yang akan dilantik bermula pertengahan bulan ini.

Tambah beliau, pihaknya akan menyerahkan watikah pelantikan bagi Pengerusi Komuniti Madani di seluruh negeri ini pada pertengahan bulan ini.

“Saya minta supaya ada kerjasama yang erat di antara NADI dan Jabatan Penerangan supaya rakyat di satu-satu kawasan itu mendapat maklumat yang tepat dan manfaat sepenuhnya daripada perubahan digital yang sedang kita alami di seluruh negara,” jelasnya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast