BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam oleh rakan senegara yang dikenalinya dalam kejadian di Lorong IKS Juru 5, Simpang Ampat di sini, malam tadi.
Difahamkan, suspek memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan sebelum lelaki berkenaan menghubungi pihak polis pada jam 10.50 malam.
Hasil siasatan awal polis bersama pasukan forensik di lokasi membawa kepada penemuan mayat lelaki berusia 53 tahun itu dalam keadaan meniarap di tepi jalan dengan kesan tikaman di bahagian rusuk.
Siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Difahamkan, polis sedang menyiasat motif kejadian serta giat memburu suspek yang identitinya telah dikenal pasti.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















