KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggerakkan notis merah melalui polis antarabangsa (Interpol) terhadap dua anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin kerana mengingkari arahan untuk hadir memberi keterangan bersabit siasatan yang dijalankan terhadap mereka.
Selain itu, SPRM juga akan bekerjasama dengan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyekat serta memantau pergerakan keluar masuk dan status pasport Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin berkenaan.
Turut dikenakan tindakan serupa ialah seorang lagi individu iaitu Josephine Premla, yang mana kesemua mereka gagal hadir walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh pihak SPRM.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius kegagalan tiga individu berkenaan untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu sebagaimana yang diperintahkan melalui tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan bertarikh 13 Februari; 11 Mac dan hari ini.
Menurutnya, wakil peguam yang mewakili individu berkenaan telah menyatakan komitmen dan persetujuan untuk hadir hari ini.
Namun demikian, ujarnya, mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah.
“Bagaimanapun, Asnida Abdul Daim telah hadir dan memberikan kerjasama kepada SPRM, manakala Md Wira Dani Daim telah memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penama-penama berkenaan juga akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana ingkar mematuhi Perintah Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.
Sementara itu, ujarnya, Asnida akan dituduh di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.
“SPRM menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi ini tidak akan dilayan dengan toleransi, dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian,” katanya. – MalaysiaGazette
















