KUALA LUMPUR – Sebanyak 214 kompaun dikeluarkan terhadap premis yang didapati terlibat dalam aktiviti haram membabitkan pengurusan buangan terjadual menerusi siri Ops Hazard 1.0 hingga 3.0 yang berakhir kelmarin.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi berfasa itu bertujuan memastikan pematuhan industri terhadap pengurusan sisa buangan terjadual bagi mengelakkan risiko pencemaran yang menjejaskan ekosistem dan kesihatan awam.
Jelasnya, menerusi Ops Hazard 3.0 sahaja, kira-kira 4,714 metrik tan sisa e-waste bernilai lebih RM23.79 juta berjaya dirampas dalam serbuan serentak di beberapa negeri bagi membanteras aktiviti pemprosesan secara haram.
“Kejayaan ini membuktikan ketelusan kementerian dalam menjaga kedaulatan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arthur memperincikan bahawa Ops Hazard 1.0 sebelum ini berjaya membongkar stor simpanan haram di kawasan industri terpencil dengan pengeluaran 17 kompaun bernilai RM34,000.
Sementara itu, ujarnya, bagi Ops Hazard 2.0, tumpuan diberikan kepada mengekang pemprosesan e-waste haram yang menyaksikan 69 premis diperiksa dan 42 kertas siasatan dibuka, melibatkan nilai kompaun RM150,000.
“Siri Ops Hazard 1.0 hingga 3.0 ini bukan sekadar operasi rutin tetapi mesej amaran kepada semua pihak. Dengan pindaan Akta 127, kita kini mempunyai kuasa perundangan yang lebih mantap,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak industri mengenai pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang telah diwartakan, memperuntukkan hukuman lebih tegas.
Ujarnya, pesalah alam sekitar kini berdepan dengan denda sehingga RM10 juta atau hukuman penjara bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara. — MalaysiaGazette
















