MELAKA – Lagi insiden serangan terhadap anggota polis ketika bertugas, namun kali ini melibatkan kes di Melaka apabila seorang lelaki menyerang anggota menggunakan parang dalam serbuan dadah di Tanjung Kling, Khamis lalu.
Kejadian terbaharu ini mengingatkan kepada kes tular di Kuala Langat pada 9 April lalu, apabila seorang lelaki mengamuk dan mengejar anggota polis menggunakan pisau pemotong daging di sebuah restoran makanan laut sebelum berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam Khamis lalu ketika serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Ketika serbuan dilakukan di kawasan Tanjung Kling berdasarkan maklumat risikan dadah, tiba-tiba seorang suspek lelaki bertindak agresif.
“Suspek berusia 31 tahun itu mengeluarkan ugutan dan menyerang anggota menggunakan sebilah parang panjang sebelum melarikan diri namun berjaya ditahan selepas itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian mengakibatkan anggota polis berpangkat Lans Koperal bengkak pada ibu jari tangan kiri.
“Susulan itu, suspek akan dituduh di Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini atas enam pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 324, 506, dan 186 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan jenayah, serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Lelaki itu juga akan berdepan pertuduhan lebih berat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa atau memiliki senjata berbahaya di tempat awam.
“Tertuduh juga akan didakwa di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan kesalahan memiliki dadah,” tambahnya.
Ahad lalu, media melaporkan tular kejadian seorang pemandu lori mengejar anggota polis sambil memegang senjata di sebuah restoran di Kuala Langat sebelum berjaya diberkas polis.
Kejadian dikatakan berlaku kerana timbul kekeliruan dan selisih faham mengenai pembayaran makanan.
Lelaki berusia 31 tahun itu kemudian dijatuhi hukuman denda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, Selangor selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan terhadapnya. – MalaysiaGazette
















