KUALA LUMPUR – Dakwaan Perdana Menteri bahawa “hanya 15 peratus rakyat terkesan oleh kenaikan harga diesel” tidak selari dengan realiti, kata Naib Presiden MCA Datuk Ir Lawrence Low.
Beliau mendakwa kenyataan tersebut meremehkan impak sebenar dan mengabaikan kesan berantai yang diwujudkan oleh kenaikan harga bahan api itu ke seluruh ekonomi.
Ini kerana diesel tidak pernah menjadi produk pengguna yang berdiri sendiri (stand-alobe), sebaliknya ia merupakan komponen kos utama yang merentasi keseluruhan sistem ekonomi.
Apabila harga diesel meningkat, kesannya akan dipindahkan ke setiap peringkat rantaian bekalan dan akhirnya tercermin dalam kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat biasa.
Tega beliau, kenaikan harga diesel mula memberi kesan kepada sektor kritikal seperti logistik, pembinaan dan pelancongan dan apabila berlaku peningkatan kos dalam industri-industri tersebut ia akhirnya dipindahkan kepada pengguna, sekali gus mewujudkan tekanan inflasi yang meluas.
”Diesel merupakan nadi kepada aktiviti ekonomi. Apabila harganya meningkat secara tidak munasabah, ia mendorong kenaikan kos pengangkutan, harga bahan binaan dan caj perkhidmatan secara menyeluruh, dengan rakyat akhirnya menanggung beban tersebut.
”Dakwaan bahawa “kebanyakan rakyat tidak terjejas” sebelum ini juga pernah dibuat berhubung kenaikan tarif elektrik. Namun realitinya, apabila kos perniagaan meningkat, harga pasti akan dipindahkan ke pasaran.
”Orang ramai tidak dapat terus dilindungi daripada kesan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi & PKS MCA berkata, kerajaan sememangnya mengetahui bahawa kos akhirnya akan ditanggung oleh pengguna akhir.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengakui kesan sistemik kenaikan harga diesel dan mengambil tindakan yang lebih bersasar dengan segera.
Ini termasuk memperkenalkan langkah bantuan jangka pendek bagi membantu PKS serta sektor makanan dan minuman menghadapi kenaikan kos; dan menyemak mekanisme penetapan harga diesel bagi mengelakkan gangguan berlebihan kepada rantaian bekalan.
Kerajaan juga didesak untuk meningkatkan ketelusan dalam penetapan harga bahan api supaya pasaran mempunyai jangkaan yang lebih jelas; menyalurkan penurunan harga minyak global dengan lebih cepat bagi mengelakkan kelewatan dalam penurunan harga domestik serta menyediakan penangguhan sementara bayaran balik pinjaman bagi mengurangkan tekanan aliran tunai perniagaan. -MalaysiaGazette
















