Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Putrajaya Forum 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 APRIL 2026

KUALA LUMPUR – Kemajuan pesat dalam sains dan teknologi kini mengubah secara asas landskap keselamatan global sekali gus mentakrif semula sifat peperangan dan kuasa ketenteraan, kata Menteri Pertahanan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan berkembang pantas, keselamatan kolektif bergantung kepada keupayaan negara untuk memahami, menyesuaikan diri dan bertindak secara bersama.

Menurutnya, pelbagai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, teknologi kuantum dan angkasa, sistem hipersonik, bioteknologi, bahan termaju serta komunikasi generasi baharu dijangka memberi impak besar terhadap operasi ketenteraan masa hadapan.

“Teknologi ini bersifat disruptif dan mengalihkan fokus daripada platform tradisional kepada sistem yang saling berhubung serta autonomi. Penggabungan teknologi ini mewujudkan paradigma peperangan yang sama sekali baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Forum Putrajaya sempena pameran Defence Services Asia dan National Security Asia 2026 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Shah, yang menyampaikan ucaptama.

Mohamed Khaled berkata, konflik semasa menunjukkan peperangan kini semakin dipengaruhi oleh keupayaan dan integrasi teknologi sekali gus menuntut penilaian semula terhadap pendekatan membina kekuatan pertahanan.

Kebergantungan kepada aset berteknologi tinggi dan mahal semata-mata tidak lagi mencukupi sebaliknya konsep attritable mass seperti penggunaan dron kos rendah secara besar-besaran semakin relevan.

“Dalam pendekatan ini, perkakasan menjadi sekunder berbanding tulang belakang digital, infrastruktur pengkomputeran, data dan AI,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan penguasaan maklumat menjadi kunci utama dalam peperangan moden, dengan keupayaan mengumpul, memproses dan bertindak terhadap data secara pantas memberi kelebihan strategik.

“Medan pertempuran masa hadapan dicirikan oleh keterhubungan, ketepatan dan keupayaan pemusnahan. Kita perlu mengoptimumkan teknologi serta sistem arahan bersepadu untuk mendahului pihak lawan,” katanya.

Mohamed Khaled turut memberi amaran sektor pertahanan kini berada pada titik perubahan kritikal apabila teknologi baharu membentuk semula asas kuasa ketenteraan.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara ASEAN supaya memahami perubahan dan bertindak segera memandangkan rantau ini semakin terdedah kepada dinamika keselamatan baharu.

“Rantau ini perlu melangkaui pelaburan semata-mata dengan memberi tumpuan kepada transformasi serta mengimbangi kemajuan teknologi dengan etika dan tanggungjawab,” ujarnya.

Beliau menambah, matlamat utama kekal kepada usaha memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Katanya, tema Forum Putrajaya iaitu “Keselamatan ASEAN di Ambang Teknologi Baharu” dipilih bagi merangsang perbincangan bermakna serta membuka jalan kepada tindakan konkrit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast