MADINAH – Warga emas, Norma Said tetap gagahkan diri untuk menunaikan haji tahun ini selepas impian untuk mengerjakan rukun Islam kelima bersama suami tercinta pada tahun lalu tidak kesampaian.
Suaminya, meninggal dunia pada awal tahun selepas menderita kanser hati.
Warga emas berusia 65 ini berkata, biarpun berseorangan, beliau perlu kuat semangat untuk menunaikan ibadah haji yang tertangguh.
Berasal dari Kampung Solok, Melaka, Norma berkata, mereka ditawarkan mengerjakan haji pada 7 Januari 2025, empat hari selepas suaminya meninggal dunia.
“Suami makcik sudah meninggal dunia pada 3 Januari. Jadi semasa dapat tawaran, makcik dalam iddah.
“Makcik mohon Tabung Haji untuk tangguh ke tahun ini. Alhamdulillah, hari ini makcik sampai ke sini (Madinah),” katanya ketika ditemui di sini.
Norma antara jemaah haji diterbangkan awal ke Madinah untuk ziarah sebelum meneruskan perjalanan Makkah bagi mengerjakan haji.
Norma mengakui walaupun hatinya teruja kerana impian untuk menunaikan haji tercapai, tetapi jauh di sudut hati kecilnya tetap ada rasa takut susulan konflik di Asia Barat.
“Makcik memang tak nak lepaskan peluang ini (dapat mengerjakan haji) tapi dalam hati takut kerana perang,” ujarnya perlahan.
Norma berkata, walaupun suaminya tidak berkesempatan untuk menunaikan haji, beliau bersyukur kerana telah melaksanakan urusan badal haji buat suaminya tahun ini.
“Dia tak sempat pergi, jadi keluarga sudah uruskan badal haji buat arwah,” katanya.
Ditanya mengenai perjalanan seorang diri ke Madinah, Norma berkata, kakitangan Tabung Haji menjaganya dengan baik.
“Saya dijaga dari awal sehingga di sini. Makcik tak rasa keseorangan pun sebab di sini dapat rakan sebilik sekepala,” katanya sambil senyuman. – MalaysiaGazette
















